Tuesday, March 8, 2011

- Kempen BreastFeeding -

Kebetulan no idea malam ni apa menda aku nak posting.. last2 terjumpa artikel ni while ngah lepakKINGS @ SUSU IBU.

So bley la share ngan sesapa yg berminat...


Credit to : TAJAIYAH IHSAN

WALAUPUN kempen penyusuan ibu baru sahaja berakhir, namun usaha untuk menggalakkan lebih ramai ibu menyusukan bayi mereka masih diteruskan.

Ini kerana kelebihan menyusukan bayi sendiri adalah yang terbaik dan tiada tandingannya. Ia bukan sahaja bagus untuk si manja malah bagi ibu itu sendiri.

Menurut Pakar Perunding, Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan, sungguhpun sudah ada kesedaran di kalangan ibu-ibu menyusukan bayi mereka tetapi ternyata ia tidak mencukupi.

``Paling penting, mereka perlu menyusukan bayi mereka secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan pertama, barulah dikatakan matlamat menyusukan bayi itu tercapai dan memberi kesan yang cukup positif pada bayi,'' ujar Dr. Jamiyah.

Jelas beliau, penyusuan eksklusif ini bermaksud, hanya susu ibu diberikan kepada bayi dalam tempoh enam bulan itu tanpa sokongan makanan atau minuman lain (termasuk air masak).

Makanan tambahan hanya dimulakan selepas bayi berusia enam bulan ke atas.

Lebih baik lagi, jika ibu-ibu dapat meneruskan susuan ke atas bayi mereka sehinggalah bayi meningkat dua tahun.

Dr. Jamiyah berkata, ``Memang benar sudah ramai ibu yang menyusukan bayi mereka kerana sudah dilatih sebaik sahaja melahirkan anak termasuk ibu yang melahirkan anak mereka melalui pembedahan Caesarean.''

Malah, ibu-ibu mendapatkan pendedahan awal mengenainya selepas satu jam bersalin daripada jururawat dan mereka yang terlatih di hospital.

Pihak hospital kerajaan dan swasta juga mengambil inisiatif dengan mengadakan kempen penyusuan ibu sempena sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia yang diadakan pada bulan Ogos setiap tahun.

Kempen-kempen ini dianjurkan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan ibu di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Inisiatif Penyusuan Ibu PPUM, memberitahu, pihaknya juga mengadakan sambutan yang sama bertemakan `Menyusu Bayi dan Makanan Keluarga, Sayang dan Sihat' pada 13 Ogos lalu.

Dr. Jamiyah berkata, walaupun sambutan Minggu Penyusuan Ibu sudah berlalu, program seperti ini berterusan dan aktiviti berkaitan terus diadakan dari semasa ke semasa.

Apa yang jelas, menyusukan bayi dengan susu ibu merupakan langkah bijak dan terbaik ke arah perkembangan dan tumbesaran bayi.

Kepentingan penyusuan ibu menurut Islam:


``Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.'' - Surah al-Baqarah.

Kelebihan susu ibu

* Susu awal ibu yang menitis pekat berwarna kekuningan mengandungi kolostrum yang tinggi khasiatnya untuk si manja. Antaranya: melindungi bayi daripada jangkitan dan alahan kerana ia kaya dengan antibodi, mencegah jangkitan dan penyakit mata kerana mengandungi vitamin A & E, kematangan usus dan mencegah alahan dan mengeluarkan mekonium dan mencegah jaundis (susu ibu juga sejenis laksatif).

* Mengandungi khasiat zat yang lengkap bagi memenuhi keperluan bayi

* Mengandungi protein, lemak dan asid lemak yang tinggi dan mudah dihadam. Perkembangan sistem penglihatan bayi yang menyusu juga mengumpul DHA di dalam korteks. (Kajian menunjukkan bayi yang menyusu adalah 5.2 mata lebih tinggi daripada yang tidak menyusu susu ibu. - American Journal Of Clinical 1991)

* Melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan

* Mengurangkan penyakit-penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis dan cirit-birit.

* Mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak bila mereka dewasa

* Mengurangkan risiko sindrom kematian bayi

* Mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang

* Mengurangkan risiko pencemaran berbanding penyusuan yang lain.

Faedah penyusuan terhadap ibu

* Melindungi kesihatan ibu, merendahkan risiko terhadap barah buah dada dan ovari

* mengelakkan pendarahan selepas bersalin

* Menjarakkan kelahiran kerana ia merupakan cara perancang keluarga semula jadi

* Mempercepatkan proses pengurangan berat badan dan mengempiskan perut kerana hormon oksitosin membantu mengecutkan rahim

* Mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak

* Penyusuan ibu boleh dilakukan pada bila-bila masa saja dan di mana-mana sahaja.

Menurut Dr. Jamiyah lagi, biarpun penyusuan ini banyak memberi kelebihan, namun masih ada yang agak keberatan mahu menyusukan bayi mereka.

Senario ini mungkin terjadi kerana kurang pengetahuan mengenai cara menyusukan bayi dengan betul dan selesa atau cara lekapan yang betul tanpa menyakitkan puting buah dada.

``Teknik menyusukan bayi juga perlu betul kerana jika tidak ia boleh melukakan puting buah dada dan membuat ibu serik menyusukan anaknya,'' ujar Dr. Jamiyah lagi.

Cara yang betul ialah dengan memasukkan puting dan sebahagian kawasan gelap buah dada ke dalam mulut bayi. Puting akan terluka jika dihisap pada pangkal puting sahaja.

``Sebenarnya ibu boleh memilih gaya mana yang mereka selesa untuk menyusukan bayi, duduk atau baring mahupun lain-lain posisi. Apa yang pasti proses penyusuan itu mewujudkan satu hubungan yang akrab penuh kasih sayang antara ibu dan anak-anak.''

Beliau juga memberitahu, di PPUM, bakal ibu dan bapa digalakkan mengikuti kelas ibu mengandung dan penyusuan ibu. Kehadiran ayah akan memberi sokongan kepada ibu.

Malah kata Dr. Jamiyah lagi, pihaknya juga menggalakkan ibu menyusukan bayinya di depan anak-anaknya yang lain supaya anak-anak memahami mengenainya dan apabila mereka dewasa, ia (penyusuan ibu) sudah tidak pelik lagi.

Proses pengeluaran susu

Pengeluaran susu bergantung pada keperluan dan penghisapan bayi anda. Anak saraf di dalam puting dirangsang apabila bayi menetek.

Kemudian isyarat dihantar ke otak yang menyebabkan pengeluaran hormon prolaktin. Hormon ini memulakan pengeluaran susu dalam buah dada.

Semakin kerap bayi menetek, semakin banyak hormon prolaktin yang dikeluarkan dan lebih banyak hormon bererti lebih banyak susu yang terhasil.

Kala bayi menyusu ia akan merangsangkan pengeluaran oksitosin yang menyebabkan susu mengalir keluar.

Walau bagaimanapun proses mudah dan semula jadi ini tidak akan berjaya jika anda kurang yakin dengan keupayaan diri untuk menyusu atau cemas dan mengalami tekanan.

Kata Dr. Jamiyah lagi, yang penting ibu mestilah berasa seronok dan positif untuk menyusukan bayinya.

Menurutnya, ibu angkat juga boleh menyusukan bayi yang dipelihara bila bayi itu menetek dengannya dan proses itu sekali gus merangsangkan air susu ibu untuk mengalir.

``Terdapat kes-kes yang melibatkan ibu angkat yang berjaya menyusukan anak angkat mereka dengan jayanya,'' katanya lagi.

Selepas tempoh dua bulan, ibu yang kembali bekerja masih boleh terus menyusukan bayinya.

Mereka boleh menyimpan perahan susu dalam peti sejuk (bahagian dingin beku) beberapa bekas untuk kegunaan bayi dan boleh juga membuat perahan yang sama di pejabat.

Dalam hubungan ini, Dr. Jamiyah berharap majikan boleh mengadakan ruang atau bilik khas buat ibu-ibu yang bekerja.

Beliau juga memberitahu, apa yang penting ibu juga perlu menjaga kesihatan, kebersihan dan makan makanan seimbang.

Dr. Jamiyah juga menambah, walaupun seseorang itu sakit atau menghidap sesuatu penyakit, dia juga layak menyusukan bayinya.

Pesakit HIV positif dan pesakit barah yang dalam rawatan tidak dibenarkan menyusukan bayi kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan bayi.


Tolak tanggapan negatif

Beliau juga menolak tanggapan yang mengatakan ibu yang menyusukan bayinya akan menyebabkan buah dadanya melendut atau jatuh.

Sebaliknya mereka akan mendapati buah dadanya elok asalkan mengenakan coli yang betul dan bersesuaian. Apa juga masalah mengenai penyusuan boleh diatasi andainya mereka merujuk kepada yang arif.

Apa yang penting ibu perlu sentiasa menjaga pemakanan mereka dan kebersihan dari awal mengandung sehinggalah bayi dilahirkan dan seterusnya.

Seperkara lagi banyak kaedah dan tip boleh diberikan kepada mereka yang baru mula menyusukan bayi mereka.

``Saya berharap ramai ibu akan tampil untuk menyusukan anak mereka kerana mereka boleh melakukannya. Istilah susu kering atau apa sahaja, insya-Allah semuanya boleh diatasi. Rujuk kepada yang pakar jika anda mengalami masalah mengenai penyusuan ibu ini,'' ujar Dr. Jamiyah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...